dalam usaha Najib mahu mempertahankan kuasanya sebagai Perdana Menteri,
beliau dipercayai akan terus mencurahkan habuan dan ganjaran kepada
kalangan Ahli Parlimen yang tercicir dalam pengagihan jawatan kabinet
baru-baru ini.
Sebelum ini Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim telah dijadikan
Pengerusi Tabung Haji manakala Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif Ahmad
pula dijadikan Pengerusi SPNB.
Walaupun pelantikan Azeez menerima kritikan dan kontroversi yang agak
besar berbanding pelantikan lain tetapi pengesahan beliau memegang
jawatan itu sudahpun dibuat semalam dan ini memperlihatkan bahawa
program memberi habuan dan ganjaran akan tetap diteruskan mengikut
perancangan yang dibuat oleh Perdana Menteri bersama
penasihat-penasihatnya.
Maklumat terbaru pula menyebut, seorang lagi iaitu Ahli Parlimen
Ketereh yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Annuar Musa
bakal dilantik sebagai Pengerusi Mara menggantikan Idris Jusoh yang
dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelajaran Kedua.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian, Johari Baharom yang
digugurkan dalam pembentukan kabinet baru-baru ini turut dikhabarkan
sudahpun dilantik sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam usaha Najib mahu mempertahankan jawatannya sama ada dari
kemungkinan ditumbangkan melalui undi tidak percaya di Parlimen mahupun
dalam pemilihan jawatan Presiden Umno hujung tahun ini, diyakini beliau
akan terus mengagih-agihkan jawatan sebagai Pengerusi mana-mana GLC atau
agensi kerajaan kepada kalangan Ahli Parlimen yang tidak diberikan
jawatan menteri atau timbalan menteri, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, beberapa Ketua Umno Bahagian yang kalah
bertanding atau tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya lalu,
dikatakan akan turut menerima habuan tersebut secara
berperingkat-peringkat tidak lama lagi.
Sepertimana sudah menjadi perbualan umum, kemungkinan Najib dicabar
melalui undi tidak percaya di Parlimen tidak boleh dipandang ringan
sekarang ini berikutan tindakan hampir 20 Ahli Parlimen Sabah dan
Sarawak mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, meluahkan
kekecewaan dan perasaan tidak puas hati mereka terhadap layanan Najib.
Walaupun Sabah dan Sarawak menyumbang kira-kira 1/3 daripada 133
kerusi yang dimenangi BN tetapi mereka hanya diperuntukkan 20 jawatan
menteri dan timbalan menteri sahaja. Ada parti yang menang banyak kerusi
diberikan jawatan yang sedikit atau tidak diperuntukkan apa-apa jawatan
dalam kabinet manakala terdapat pula parti yang menang sedikit kerusi
tetapi diberikan jawatan menteri.
Semua ini menimbulkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati. Pertemuan
mereka yang tidak berpuas hati itu dengan Tengku Razaleigh segera
menimbulkan andaian bahawa mereka ini melalui peranan yang akan
dimainkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu akan bergabung dengan 89
kerusi yang ada di tangan PR untuk mengusulkan undi tidak percaya
terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Cabaran kedua Najib ialah kemungkinan beliau ditentang dalam
pemilihan Umno hujung tahun ini. Disebut-sebut bahawa Muhyiddin Yassin
atau Tengku Razaleigh akan mencabar Najib untuk jawatan Presiden Umno
dalam sistem pemilihan terbuka yang pertama kali diamalkan sejak
Mahathir mewujudkan kuota pencalonan sebaik Umno dihidupkan kembali pada
1988 lalu.
Dalam menghadapi kedua-dua cabaran ini, Najib nampaknya tiada pilihan
selain memberikan ganjaran atau habuan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan
Ketua Umno Bahagian untuk memastikan kesetiaan mereka sentiasa tertumpah
kepadanya.
Pemberian jawatan kepada Azeez Rahim dan Dr Latif adalah permulaan ke
arah itu manakala pelantikan Annuar Musa dan Johari Baharom pula
merupakan tindakan susulan yang memperlihatkan keagresifan Najib untuk
mempertahankan kedudukannya.
Beberapa lantikan lagi dipercayai akan terus menyusul selepas ini dan
seboleh-bolehnya Najib mahu mempamerkan dirinya sebagai pemimpin yang
sentiasa mendapat sokongan dan dalam masa yang sama mengekang pengaruh
Muhyiddin dan Tengku Razaleigh yang berkemungkinan mengganggu gugat
kedudukannya.
Sekurang-kurangnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti,
beberapa Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian lagi akan menerima khabar
gembira masing-masing dan seterusnya menjadikan mereka lebih ceria dan
gembira bersama jawatan dan ganjaran yang diterima itu. -
shahbudindotcom.blogspot.com, 2 Julai
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.