ads klikla

Sabtu, 22 Juni 2013

Terlelap: Saya juga manusia, kata Khalid

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau bersikap terbuka dengan penyiaran berita beliau terlelap pada sidang media semalam yang disiarkan Buletin Utama malam tadi.

Mengulas insiden itu berliau berkata, sebagai manusia ada kalanya beliau tidak sihat.

"Saya bersikap terbuka terhadap laporan saya terlelap di TV malam tadi. Sebagai manusia, ada kalanya kita tidak sihat. 

"Rakyat boleh menilai komitmen saya pada kerja. Terima kasih sekali lagi atas segala ucapan selamat," katanya melalui facebook hari ini.

TV3 malam tadi menyiarkan berita keadaan Abdul Khalid terlelap kira-kira 15 saat ketika bercakap pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dalam penjelasan oleh pegawainya, keadaan itu berlaku kerana Abdul Khalid tidak sihat dan terlalu mengantuk kerana kesan daripada ubat darah tinggi yang diambilnya.

Sementara itu. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini kelihatan kembali sihat dan bersemangat menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian Program Temasya Adat dan Warisan sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Istana Bandar di sini pagi tadi.

Beliau juga menyempurnakan upacara simbolik perasmian majlis dengan memanah belon sebelum dibawa melawat ke ruang pameran di dalam istana.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi yang merupakan seorang doktor perubatan, menjelaskan bahawa Menteri Besar mengalami masalah kekurangan tenaga semalam.

“Dia (Abdul Khalid) tidak mengambil sarapan pagi semalam. Sebab itu badannya tidak mempunyai gula dan tenaga yang mencukupi, hingga menyebabkannya terlelap,” jelas Adun Sijangkang itu.

nufnang sila klik