ads klikla

Senin, 15 Juli 2013

DAP: Kita pertahan Islam agama persekutuan

Ahli Parlimen DAP hari ini menegaskan bahawa pihaknya menolak mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) menjadi subjek wajib di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bertujuan bagi mengelak pelajar belajar secara terpaksa.

Anthony Loke (DAP-Seremban) juga berkata, beliau turut mencadangkan supaya subjek tersebut tidak dijadikan sebagai subjek wajib sebaliknya subjek elektif di IPTS.

NONE"Saya di sini ingin tegaskan pendirian DAP, tak ada masalah pelajar Malaysia untuk pelajari tamadun Islam atau tamadun dunia. Kita galakkan pemahaman tentang ketamadunan agar dapat luaskan minda dan pengetahuan am.

"Cuma untuk mewajibkan di IPTS (Institusi Pegajian Tinggi Swasta) adalah tak wajar bila ada unsur-unsur kewajipan kerana ia beri satu imej yang negatif di kalangan pelajar seolah-olah terpaksa. Jadi saya ingin tegaskan agar jadikan subjek itu sebagai subjek elektif bukan wajib.

"Kita tak mahu pendirian yang diambil DAP atau mana-mana pihak dijadikan modal untuk puak-puak perkauman kononnya kita bantah agama Islam. DAP tak pernah anti Islam malah kita mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kampar Ko Chung Sen mempersoalkan satu ketetapan baru Kementerian Pendidikan yang mewajibkan subjek Tamadun Islam terhadap pelajar tempatan yang akan dilaksanakan pada 1 September tahun ini.

Beberapa kumpulan, antaranya NGO anak muda Cina Emco, Buddhist Research Society of Malaysia (BRSM) dan Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan kerajaan itu. 

Mereka tidak bersetuju dengan usaha tersebut yang didakwa "indoktrinasi" ke atas pelajar.

Senin, 08 Juli 2013

D ZAHID WAJIB AKUI SILAP ATAU LETAK JAWATAN

Sekalipun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau bercanggah pendapat dengan Perdana Menteri dalam isu Akta Hasutan, Menteri Dalam Negeri itu perlu mengakui kesilapan atau meletak jawatan.
"Alasan Ahmad Zahid tidak dapat diterima. Datuk Seri Najib Razak mesti komited untuk memansuh akta itu dengan mengarahkan Zahir mengakui kesilapan dan menyokong pemansuhan.
"Atau Zahid patut letak jawatan dari Kabinet," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada kenyataan media, hari ini.

Katanya, keengganan Ahmad Zahid bukan sahaja bercanggah dengan janji Najib tetapi menunjukkan beliau mengkhianati slogan pilihan raya Barisan Nasional (BN) iaitu 'Janji Ditepati'
Julai tahun lalu, Najib selepas memansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat, membuat pengumuman bahawa akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional
Jika BN gagal melaksanakannya, Lim meminta Najib memberi penerangan kepada rakyat alasan BN mungkir janji, mengkhianati pengundi dengan tidak menepati janji memansuh Akta Hasutan.
Lim juga menolak dakwaan Zahid betapa pemansuhan akta itu bermakna tiada undang-undang yang mengawal kesalahan seperti menghasut, fitnah, tuduhan liar atau kutukan.
"Ini tidak masuk akal kerana peruntukan jenayah itu ada dalam Kanun Keseksaan, selain membuat saman sivil," katanya, menambah Akta Hasutan disalah guna terhadap pemimpin pembangkang.
Berdasarkan pengalamannya, Lim berkata: "Jelas, Zahid cuba mengekalkan undang-undang menindas untuk diguna pakai terhadap pemimpin pembangkang."
Mengenai Ordinan Darurat, beliau berkata Zahid tidak wajar menyamakan kenaikan kadar jenayah terutama jenayah jalanan dengan pemansuhan ordinan itu.
Malah, Lim menyifatkan kenaikan kadar jenayah disebabkan kegagalan penguatkuasaan dan keberkesanan anggota polis menjalankan tugas.
"Jabatan Siasatan Jenayah (CID) hanya sembilan peratus dari keseluruhan pasukan polis. Malah, bilangan polis Cawangan khas (SB) hampir sama dengan anggota CID," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 41 peratus anggota polis terbabit dalam tugas pengurusan manakala 31 peratus berperanan dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Malah, Lim berkata, kebanyakan kakitangan polis dibahagi kepada tugas yang tidak berkaitan dalam pencegahan jenayah termasuk dijadikan senjata politik untuk 'mengurus' pemimpin pembangkang. 7 Julai, 2013.

BIL API TAK NAIK:TAPI KITA BAYAR TIAP BULAN MENINGKAT: CILAKNAT BETUL

Kerajaan akan mengkaji dengan terperinci sebelum menaikkan kadar tarif elektrik dengan mengambil kira sensitiviti rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, kata  Datuk Seri Mahdzir Khalid.
"Kerajaan tidak akan menaikkan tarif itu dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan masalah rakyat, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu.
Beliau mengulas mengenai dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional akan menaikkan kadar tarif elektrik selepas pilihan raya umum ke-13 sebanyak 41 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Perkara itu dibangkitkan dalam laman sosial dan blog seperti 'The Malaysian Insider' pada 7 Dis 2012," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek kabel dasar laut di Pulau Tuba, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan menghalusi setiap perkara terutama berkaitan golongan berpendapatan rendah dengan mengambil kira kos bahan mentah bagi menjanakan elektrik.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Pulau Tuba akan mendapat bekalan elektrik selama 24 jam dengan pembinaan kabel dasar laut ke pulau itu tidak lama lagi.
Katanya, pembinaan kabel dasar laut itu yang dijangka menelan belanja RM46 juta dijadual bermula Disember depan, di bawah pengawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kerja pembinaan tapak di Pulau Langkawi dan Pulau Tuba akan dimulakan pada Ogos ini, projek dijangka memberi faedah kepada lebih 3,000 penduduk," katanya.
Cadangan pembinaan kabel dasar laut itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melawat pulau itu tahun lalu. - Bernama, 7 Julai

Jumat, 05 Juli 2013

Najib: Tahniah Amerika Syarikat..ade ape apekeni...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Presiden Barack Obama dan rakyat Amerika Syarikat bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-237 negara itu.

Beliau berkata Malaysia amat menghargai hubungan erat dan bermakna yang terjalin antara kedua-dua negara sejak lebih separuh abad lepas.

"Kami komited untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara di peringkat dua hala dan pelbagai hala, di samping meneroka bidang kerjasama baharu," kata Najib dalam perutusan kepada pemimpin Amerika Syarikat itu.

Salinan teks ucap selamat beliau dihantar kepada Bernama.

Perdana Menteri juga melahirkan harapan agar Malaysia dan Amerika Syarikat terus bekerjasama ke arah mencapai impian dan wawasan bersama mereka untuk mewujudkan dunia yang lebih sejahtera.

- Bernama

Rabu, 03 Juli 2013

Anuar Musa bakal dilantik Pengerusi Mara? - Shahbudin Husin

dalam usaha Najib mahu mempertahankan kuasanya sebagai Perdana Menteri, beliau dipercayai akan terus mencurahkan habuan dan ganjaran kepada kalangan Ahli Parlimen yang tercicir dalam pengagihan jawatan kabinet baru-baru ini.
Sebelum ini Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji manakala Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif Ahmad pula dijadikan Pengerusi SPNB.
Walaupun pelantikan Azeez menerima kritikan dan kontroversi yang agak besar berbanding pelantikan lain tetapi pengesahan beliau memegang jawatan itu sudahpun dibuat semalam dan ini memperlihatkan bahawa program memberi habuan dan ganjaran akan tetap diteruskan mengikut perancangan yang dibuat oleh Perdana Menteri bersama penasihat-penasihatnya.
Maklumat terbaru pula menyebut, seorang lagi iaitu Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Annuar Musa bakal dilantik sebagai Pengerusi Mara menggantikan Idris Jusoh yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelajaran Kedua.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian, Johari Baharom yang digugurkan dalam pembentukan kabinet baru-baru ini turut dikhabarkan sudahpun dilantik sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam usaha Najib mahu mempertahankan jawatannya sama ada dari kemungkinan ditumbangkan melalui undi tidak percaya di Parlimen mahupun dalam pemilihan jawatan Presiden Umno hujung tahun ini, diyakini beliau akan terus mengagih-agihkan jawatan sebagai Pengerusi mana-mana GLC atau agensi kerajaan kepada kalangan Ahli Parlimen yang tidak diberikan jawatan menteri atau timbalan menteri, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, beberapa Ketua Umno Bahagian yang kalah bertanding atau tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya lalu, dikatakan akan turut menerima habuan tersebut secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi.
Sepertimana sudah menjadi perbualan umum, kemungkinan Najib dicabar melalui undi tidak percaya di Parlimen tidak boleh dipandang ringan sekarang ini berikutan tindakan hampir 20 Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, meluahkan kekecewaan dan perasaan tidak puas hati mereka terhadap layanan Najib.
Walaupun Sabah dan Sarawak menyumbang kira-kira 1/3 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN tetapi mereka hanya diperuntukkan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri sahaja. Ada parti yang menang banyak kerusi diberikan jawatan yang sedikit atau tidak diperuntukkan apa-apa jawatan dalam kabinet manakala terdapat pula parti yang menang sedikit kerusi tetapi diberikan jawatan menteri.
Semua ini menimbulkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati. Pertemuan mereka yang tidak berpuas hati itu dengan Tengku Razaleigh segera menimbulkan andaian bahawa mereka ini melalui peranan yang akan dimainkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu akan bergabung dengan 89 kerusi yang ada di tangan PR untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Cabaran kedua Najib ialah kemungkinan beliau ditentang dalam pemilihan Umno hujung tahun ini. Disebut-sebut bahawa Muhyiddin Yassin atau Tengku Razaleigh akan mencabar Najib untuk jawatan Presiden Umno dalam sistem pemilihan terbuka yang pertama kali diamalkan sejak Mahathir mewujudkan kuota pencalonan sebaik Umno dihidupkan kembali pada 1988 lalu.
Dalam menghadapi kedua-dua cabaran ini, Najib nampaknya tiada pilihan selain memberikan ganjaran atau habuan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian untuk memastikan kesetiaan mereka sentiasa tertumpah kepadanya.
Pemberian jawatan kepada Azeez Rahim dan Dr Latif adalah permulaan ke arah itu manakala pelantikan Annuar Musa dan Johari Baharom pula merupakan tindakan susulan yang memperlihatkan keagresifan Najib untuk mempertahankan kedudukannya.
Beberapa lantikan lagi dipercayai akan terus menyusul selepas ini dan seboleh-bolehnya Najib mahu mempamerkan dirinya sebagai pemimpin yang sentiasa mendapat sokongan dan dalam masa yang sama mengekang pengaruh Muhyiddin dan Tengku Razaleigh yang berkemungkinan mengganggu gugat kedudukannya.
Sekurang-kurangnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti, beberapa Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian lagi akan menerima khabar gembira masing-masing dan seterusnya menjadikan mereka lebih ceria dan gembira bersama jawatan dan ganjaran yang diterima itu. - shahbudindotcom.blogspot.com, 2 Julai

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Senin, 01 Juli 2013

KALINI POLIS BIJAK...JANGAN TAK BAGI MOTOR MASUK BANDAR AAAA

SUNGAI SIPUT, 1 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangankan pihak berwajib mengguna semula sistem pendaftaran nombor plat pintar atau e-plat bagi membendung kejadian curi kenderaan yang semakin berleluasa dalam tempoh terdekat.

Katanya, dengan pelaksanaan kaedah itu ia mampu mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran pada semua jenis kenderaan.

"Dengan adanya e-plat ini, kita dapat mengesan penjenayah yang menggunakan nombor pendaftaran palsu selain dapat mengelak kenderaan daripada dicuri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput Isnin.

Terdahulu, Khalid menghadiri majlis perasmian Kompleks IPD Sungai Siput yang disempurnakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

IPD Sungai Siput mempunyai 17 pegawai kanan, 230 anggota pangkat lain dan 38 pegawai awam manakala bahagian pentadbiran meliputi Balai Polis Sungai Siput, Lintang, Simpang Jalong, Karai dan Salak Baharu.

Khalid berkata kaedah itu dicadang semula memandangkan banyak negara luar menggunakannya dan terbukti mampu mencegah serta mengesan kejadian jenayah, termasuk curi kenderaan.

Sistem e-plat, yang menggunakan teknologi mikrocip atau Radio Frequency Identification (RFID), diguna pakai di beberapa negara maju termasuk Perancis dan Australia.

-- BERNAMA

nufnang sila klik